Monday, March 26, 2012

Usahawan Kazakhstan Dipelawa Melabur Di Perlis

Isu terkini yang ingin di kongsikan adalah usaha kerajaan negeri perlis dalam pembangunan negeri ini melalui pelabur-pelabur asing. pelbagai usaha di jalankan termasuk dengan mempelawa pelabur asing utk melabur di negeri ini. ikuti berita selanjutnya seperti di bawah.....




ALMATY (Kazakhstan), 5 Mac (Bernama) -- Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid mempelawa usahawan dan ahli perniagaan Kazakhstan untuk melabur di negeri itu.

Beliau membuat pelawaan itu pada pertemuan dengan Naib Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kazakhstan, Tatyana V.Zhdanova di Astana, ibu negara Kazakhstan.

Pada pertemuan itu, Azizan membentangkan peluang pelaburan yang boleh disertai para pelabur asing di Perlis dan menayangkan video korporat berkaitan negeri itu.

Azizan mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mengetuai lawatan kerja Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selama seminggu ke Kazakhstan bermula Jumaat lalu.

Turut mengiringi baginda Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman dan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya.

Hari ini, baginda melawat Universiti Nur Mubarak di sini bagi meninjau perkembangan sistem pengajian Islam di universiti itu. Baginda turut melawat masjid di universiti.

Ketibaan baginda di perkarangan universiti yang diselimuti salji itu disambut oleh rektor universiti, Dr Mahmoud Fahmy Hijazi dan diberi taklimat mengenai kegiatan akademik universiti.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs turut berkenan berdialog dengan para pelajar universiti itu yang kebanyakannya berminat untuk mengetahui lebih dekat peluang melanjutkan pengajian di Malaysia.

Universiti yang berusia lebih 10 tahun itu banyak melahirkan para imam untuk masjid-masjid di Kazakhstan, cendekiawan Islam dan penterjemah bahasa Arab.

Universiti itu turut menyatakan minatnya untuk bekerjasama dengan mana-mana institusi pengajian tinggi di Malaysia bagi meninggikan syiar Islam.

Sebelum itu, semasa di Astana, baginda bersama delegasi melawat Masjid Nur Astana dan bermesra dengan para jemaah masjid terbesar di negeri itu.

Ketibaan baginda dan delegasi yang diiringi Duta Malaysia ke Kazakhstan, Datuk Ahmad Rashidi Hafizi disambut mesra para pegawai masjid itu serta jemaahnya.

Baginda turut melawat State Enterprise Specialized Orphanange yang merupakan pusat perlindungan kanak-kanak di Astana dan menyampaikan sumbangan sebuah mesin pencuci pakaian kepada pusat berkenaan.

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment