Monday, March 26, 2012

Usahawan Kazakhstan Dipelawa Melabur Di Perlis

Isu terkini yang ingin di kongsikan adalah usaha kerajaan negeri perlis dalam pembangunan negeri ini melalui pelabur-pelabur asing. pelbagai usaha di jalankan termasuk dengan mempelawa pelabur asing utk melabur di negeri ini. ikuti berita selanjutnya seperti di bawah.....




ALMATY (Kazakhstan), 5 Mac (Bernama) -- Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid mempelawa usahawan dan ahli perniagaan Kazakhstan untuk melabur di negeri itu.

Beliau membuat pelawaan itu pada pertemuan dengan Naib Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kazakhstan, Tatyana V.Zhdanova di Astana, ibu negara Kazakhstan.

Pada pertemuan itu, Azizan membentangkan peluang pelaburan yang boleh disertai para pelabur asing di Perlis dan menayangkan video korporat berkaitan negeri itu.

Azizan mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mengetuai lawatan kerja Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selama seminggu ke Kazakhstan bermula Jumaat lalu.

Turut mengiringi baginda Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman dan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya.

Hari ini, baginda melawat Universiti Nur Mubarak di sini bagi meninjau perkembangan sistem pengajian Islam di universiti itu. Baginda turut melawat masjid di universiti.

Ketibaan baginda di perkarangan universiti yang diselimuti salji itu disambut oleh rektor universiti, Dr Mahmoud Fahmy Hijazi dan diberi taklimat mengenai kegiatan akademik universiti.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs turut berkenan berdialog dengan para pelajar universiti itu yang kebanyakannya berminat untuk mengetahui lebih dekat peluang melanjutkan pengajian di Malaysia.

Universiti yang berusia lebih 10 tahun itu banyak melahirkan para imam untuk masjid-masjid di Kazakhstan, cendekiawan Islam dan penterjemah bahasa Arab.

Universiti itu turut menyatakan minatnya untuk bekerjasama dengan mana-mana institusi pengajian tinggi di Malaysia bagi meninggikan syiar Islam.

Sebelum itu, semasa di Astana, baginda bersama delegasi melawat Masjid Nur Astana dan bermesra dengan para jemaah masjid terbesar di negeri itu.

Ketibaan baginda dan delegasi yang diiringi Duta Malaysia ke Kazakhstan, Datuk Ahmad Rashidi Hafizi disambut mesra para pegawai masjid itu serta jemaahnya.

Baginda turut melawat State Enterprise Specialized Orphanange yang merupakan pusat perlindungan kanak-kanak di Astana dan menyampaikan sumbangan sebuah mesin pencuci pakaian kepada pusat berkenaan.

Sumber: BERNAMA

SUKAN UNIMAP

Baru-baru ini telah di adakan satu acara sukan yang di anjurkan oleh Universiti Malaysia Perlis, UniMAP. Acara tersebut telah berlangsung dengan jayanya dan di hadiri oleh Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail. Turut berkenan berangkat hadir Taja Puan Muda Perlis, DYTM TUanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah. Mari ikuti perkembangan acara ini........



Kangar – Atlit 110 meter lompat pagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian, dan atlit Pelapis Majlis Sukan Negara, Nor Amirah Mohd. Nafiah dinobatkan sebagai atlit terbaik lelaki dan wanita pada kejohanan Olahraga Remaja/Terbuka UniMAP 2012 yang berakhir semalam.
Kedua-dua atlit berkenaan dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang meraih dua pingat emas dalam kejohanan yang dianjurkan bersempena Sambutan Ulang Tahun Sedekad UniMAP.
Hadiah disampaikan oleh Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail. Turut berkenan berangkat hadir Taja Puan Muda Perlis, DYTM TUanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah.
Rayzam Shah, atlit berkelahiran Sabah, meraih dua emas menerusi acara kegemarannya 110 meter lari berpagar menewaskan rakan seperjuangan yang juga staf UniMAP, Mohd. Robani Hassan dengan catatan masa 14.13 saat. Beliau sekali lagi mencipta kejutan dengan meraih emas dalam acara riben biru 100 meter lelaki menewaskan atlit pecut kebangsaan, Zabidi Ghazali dengan catatan masa 10.72 saat.
Manakala Nor Amirah pula meraih dua emas dalam acara kegemarannya lompat kijang selepas melakukan catatan 13.10 meter dan acara 100 meter dengan catatan masa 11.89 saat. Selain itu, Nor Amirah turut membantu kuartet atlit Kesatuan Olahraga Malaysia meraih pingat emas bagi acara 4x100 meter.
Sementara itu, bagi acara 4x100 meter lelaki, pasukan UniMAP yang dibarisi oleh tiga atlit negara oleh Mohd. Robani, Mohd. Idris Zakaria, Mohd. Latif Nyat serta Mohd. Isa Ahmad Azan meraih pingat emas bagi kategori lelaki terbuka.
Kuartet emas itu mencatatkan masa 42.83 saat manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh pasukan Terengganu dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Sebanyak 12 acara dipertandingkan pada kejohanan tersebut yang buat pertama kalinya menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang selain pingat.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen Dato Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, penganjuran kejohanan berkenaan dilihat sebagai platform terbaik untuk menyemarakkan kembali arena olahraga negara yang suram dengan pelbagai isu.
Atas dasar itu, ujarnya, UniMAP mengambil pendekatan dengan menganjurkan kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai sebagai usaha untuk menarik minat dan penyertaan atlit-atlit olahraga.
“Alhamdulillah, penganjuran ini berjaya menarik ramai atlit kebangsaan dan pelapis kebangsaan selain turut disertai oleh atlit-atlit Institusi Pengajian Tinggi Awam di Malaysia. Buat kali ini hanya 12 acara dipertandingkan iaitu 100 meter, 200 meter, lompat jauh, lompat kijang, lompat tinggi, merejam lembing, melontar peluru, 400 meter, 800 meter, lempar cakera, 4x100 meter dan 4x400 meter.
“Insya Allah UniMAP bercadang untuk meneruskan penganjuran seperti ini di masa akan datang,” ujar beliau.


( 25 Mar 2012 )
Rayzam Shah Dan Nor Amirah Dinobatkan Atlit Terbaik Kejohanan Olahraga Remaja/Terbuka UniMAP 2012

UniMAP Muncul Juara MURoC 2012

Sekali lagi negeri Perlis di meriahkan dengan acara dan pertandingan yang berprestij iaitu Pertandingan Robot Universiti-Universiti Malaysia 2012 (MURoC 2012) yang berlangsung selama tiga hari di sini. Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul juara si dalam pertandingan ini. mari ikuti berita selanjutnya....


KANGAR, 26 Feb (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul juara Pertandingan Robot Universiti-Universiti Malaysia 2012 (MURoC 2012) yang berlansung selama tiga hari di sini.

UniMAP mengumpul 15 mata menewaskan pencabar terdekatnya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mendapat 13 mata pada hari terakhir pertandingan.

Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, pencapaian UniMAP tahun ini adalah yang terbaik selepas tiga kali sesi penganjuran MURoC sekaligus memperbaiki kedudukan tahun lalu iaitu di tempat kedua.

Sebanyak 79 pasukan daripada 37 institusi pengajian tinggi awam dan swasta menyertai pertandingan anjuran UniMAP itu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP berangkat menutup pertandingan dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.

Sumber -- BERNAMA